Cara betul penggunaan awalan ter-

Awalan ter- ialah awalan asli bahasa Melayu. Awalan ter- ini dapat digabungkan dengan kata dasar daripada pelbagai golongan kata utama (kata nama, kata kerja dan kata adjektif) bagi membentuk kata kerja terbitan.

Misalnya, daripada kata nama buku, dayung, nama, paku dan pelajar terbitlah kata kerja terbuku, terdayung, ternama, terpaku, dan terpelajar. Daripada kata kerja transitif ambil, beli, makan, pukul dan suruh lahir kata kerja terambil, terbeli, termakan, terpukul, dan tersuruh. Kemudian, daripada golongan kata kerja tak transitif baring, duduk, diam, jatuh dan sandar, terbit kata kerja terbaring, terduduk, terdiam, terjatuh dan tersandar.

Daripada kata adjektif baik, cantik, masyhur, pandai dan tinggi, terbit kata kerja terbaik, tercantik, termasyhur, terpandai, dan tertinggi.

Kata kerja (KK) dengan awalan ter- terdiri daripada dua jenis, iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif itu pula terbahagi kepada dua bentuk lagi, iaitu kata kerja transitif aktif, dan kata kerja transitif pasif.

Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang diikuti oleh objek atau penyambut, dan objek atau penyambut itu hendaklah terdiri daripada frasa nama.

Peraturan ini samalah seperti objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif berawalan me-. Perhatikan ayat-ayat yang berikut ini:

1. Ruslan terbaca buku yang tebal itu.

2. Adik termakan lauk yang pedas ini.

3. Ramlah membaca majalah Dewan Siswa.

4. Pembinaan pangsapuri itu telah memakan masa dua tahun.

Kata-kata buku dan lauk dalam ayat 1 dan 2 ialah objek kata kerja terbaca dan termakan, sementara Dewan Siswa dan masa satu tahun dalam ayat 3 dan 4 ialah objek kata kerja berawalan me-, iaitu memakan dan membaca. Semua objek yang berkenaan terdiri daripada frasa nama belaka.

Demikianlah persamaan yang terdapat antara kata kerja transitif aktif berawalan ter- dengan kata kerja transitif aktif berawalan me-.

Dalam bahasa Melayu juga, ada kata kerja yang terhasil daripada gabungan kata dasar dengan imbuhan ter- berfungsi sebagai kata kerja ayat pasif.

Contoh:

5. Kulit pisang itu terpijak oleh Razid.

6. Pasukan bola baling sekolah tertewas oleh pasukan pelawat.

Dalam ayat-ayat di atas, unsur pasif dinyatakan melalui struktur kata kerja berawalan tertewas oleh pasukan pelawat.

Dalam ayat pasif ini, struktur oleh + frasa nama membawa maksud pelengkap pelaku, iaitu yang menerima akibat sesuatu perbuatan.

Kadang-kadang seluruh struktur oleh + frasa nama digugurkan, meninggalkan susunan ayat dengan kata kerja berawalan ter- sahaja, tetapi disedari bermaksud pasifnya kerana makna yang tergambar, iaitu yang sedia dan telah sempurna jadinya. Contoh:

7. Pakaian seragam itu terpakai di sekolah kami.

Berasal daripada ayat “Pakaian seragam itu terpakai oleh kami di sekolah kami.”

Kata kerja tak transitif dengan awalan ter- pula ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya, tetapi dapat diikuti oleh pelengkap. Contoh:

8. Mohamad terduduk setelah mendengar berita itu.

9. Pekerja kontrak itu tersandar di tiang bangunan.

10. Murid-murid terdiam apabila dimarahi pengetua.

Ungkapan setelah mendengar berita itu (ayat 8), di tiang bangunan (ayat 9), dan apabila dimarahi pengetua (ayat 10) ialah pelengkap kepada kata kerja terduduk, tersandar dan terdiam.

Demikianlah huraian tentang awalan ter- dalam bahasa Melayu yang membentuk kata kerja terbitan. Anda harus berhati-hati sewaktu menggunakan ayat yang berawalan ter- kerana adakalanya ayat itu berbentuk aktif, dan ada ketikanya pula berbentuk pasif.

– Utusan Melayu (M) Bhd

Bentuk kata ‘ada’ sebagai kata penegas

Bentuk kata ‘ada’ sebagai kata penegas

Kata penegas tergolong dalam golongan kata tugas. Kata penegas disebut juga partikel.

Partikel ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.

Ayat yang mengandungi kata penegas ialah ayat penegas kerana mengandungi sesuatu penegasan tentang sesuatu perkara.

Kita mengenal sesuatu ayat penegas itu melalui adanya kata penegas dalam binaan predikat ayat. Dengan adanya kata penegas itu, hal atau perkara yang hendak ditekankan, atau yang hendak diutamakan dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan.

Selain partikel -kah, -lah, -tah (penegas frasa predikat, dan bahagian-bahagiannya), juga, jua, pun, sahaja, lagi dan memang (penegas frasa subjek dan frasa predikat), kata kerja tak transitif ada juga dapat berfungsi sebagai penegas ayat.

Sebagai kata penegas, ada menjadi unsur dalam binaan predikat ayat. Ayat yang mengandungi kata ada dinamai ayat penegas.

Perhatikan penggunaan kata penegas ada dalam ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Saya / ada bersamanya ketika kejadian itu terjadi.

2. Dia / ada mengatakan hal itu kepadanya.

Dalam ayat (1) dan (2), kata penegas ada yang menjadi unsur utama predikat ayat digunakan untuk menegaskan kesungguhan sesuatu hal yang hendak diperkatakan.

Hal demikian itu terkandung dalam makna frasa kerja ayat (1) dan (2), iaitu ada bersamanya dan ada mengatakan. Jadi, untuk menegaskan frasa kerja, maka kata penegas ada dapat digunakan.

Bagaimana pula halnya untuk menegaskan frasa nama, frasa adjektif dan frasa sendi nama?

Untuk frasa adjektif dan frasa sendi nama, kata penegas ada perlu ditambahkan dengan partikel -lah di belakangnya, lalu membentuk kata adalah.

Harus diingat, dalam golongan kata bahasa Melayu, kata adalah ialah kata pemeri.

Fungsi kata pemeri tidak lain daripada tugasnya sebagai unsur yang menjadi pemeri hal selain sebagai perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.

Dengan kata lain, maksud pemerian merupakan suatu penegasan juga. Hal yang demikian ini dapat kita perhatikan dalam ayat-ayat contoh seperti yang berikut:

3. Komputer riba ini adalah untuk anak bongsunya.

(adalah diikuti oleh frasa sendi nama dan penegas frasa sendi nama “untuk anak bongsunyanya”)

4. Kenyataan saksi perbicaraan itu adalah benar.

(adalah diikuti oleh frasa adjektif dan penegas frasa adjektif “benar”)

Untuk frasa nama, kata pemeri ialah bukan adalah digunakan kerana penggunaan ialah dapat menunjukkan pemerihalan secara persamaan atau akuatif.

Oleh itu, untuk maksud yang demikian itu, ialah hadir di hadapan frasa nama. Contohnya dalam ayat:

5. Wanita itu ialah pramugari.

(ialah diikuti oleh frasa nama, dan penegas frasa nama “pramugari”)

Untuk tujuan pertanyaan pula, partikel -kah digabungkan dengan kata ada dan ia membentuk kata tanya adakah dan iakah. Partikel -kah pada kata ada, dan ia bertujuan semata-mata untuk menegaskan hal yang ditanyakan.

Lihatlah tanya jawab yang berikut yang menunjukkan cara kata penegas tanya itu digunakan:

6. Adakah Syahmi datang ke sini?

Ya, Syahmi ada datang ke sini.

7. Adakah berita itu benar?

Ya, berita itu adalah benar.

8. Iakah lelaki itu abangmu?

Ya, lelaki itu ialah abangku.

Harus diingat bahawa kata tanya apakah tidak boleh dijadikan kata penegas tanya seperti adakah atau iakah.

Perhatikan betapa janggalnya ayat tanya yang menggunakan kata tanya apakah dalam ayat tanya berikut:

9. Apakah keluarganya merestui perkahwinanmu?

Seharusnya: Adakah keluarganya merestui perkahwinanmu?

10. Apakah orang itu mantan merinyu polis?

Seharusnya: Iakah orang itu merinyu polis?

11. Apakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Seharusnya: Adakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Begitulah huraian tentang bentuk kata ada yang berfungsi sebagai kata penegas dalam ayat bahasa Melayu.

~ Utusan Melayu (M) Bhd

Sedarlah Wahai Sahabatku

Sedarlah wahai sahabatku

Suatu waktu dahulu…kita bebas bermain…
suatu waktu dahulu kita bebas berlari…
suatu waktu dahulu kita bebas di bumi ini…

Kini…bumi ini tidak lagi seperti dahulu…
jarak usia semakin merangkak ke angka yg jauh….
kini….kita juga telah berbeza…
larian kita juga berbeza kerna kita mengejar masa…
kini …kita berbeza…kerna …jiwa kita berbeza…..
kini…kita berbeza …kerna haluan kita sudah berbeza….
kini….tanah ini….berbeza…kerna tanah ini ….bukan lagi milik kita…

Kita perlu sedar apakah wasiat nenek moyang kita..
Kita perlu sedar apakah hala tuju kita…
Kita perlu sedar apakah nasib kita nanti….
Kita perlu sedar apakah tinggalan buat anak-anak kita di hari mendatang….

Jiwa kita perlu dibajai semula…
Hati kita perlu disirami semula…
Ukhwah kita perlu dieratkan semula…
Silaturahim kita perlu dirapatkan semula….
Demi agama, bangsa & negara di bumi Malaysia ….

Bersatulah kita wahai rakyat Malaysia…
Bersatulah kita wahai Melayu…
Bersatulah kita wahai insan terpelajar…
Bersatulah kita di bawah satu naungan…
Bersatulah kita di bawah langit yang cerah…

Biarlah ia menjadi milik kita yang abadi hingga akhirnya….
Bersatulah demi sebuah harapan pada sebuah impian….
agar senyuman dapat lagi terukir di bibir….
Tak kan Melayu hilang di dunia !!!
Perjuangan kita belum selesai !!!

Nukilan:
Arieza Eja (Rumaizah Khuzaimah )
21 Februari 2013.

Puisi: Dia Isterimu

DIA ISTERIMU

Wahai suami,
disini isterimu sedang menunggu kepulanganmu,
bersama manis senyuman dibibir menanti dihadapan pintu,
dibuka kasutmu, dicium tanganmu,
menanti mengharapkan ciuman didahi,
sebagai tanda dihargai.

Wahai suami,
isterimu sedang didapur,
menyiapkan juadah untuk santapanmu,
makanan kegemaranmu disediakan,
nasi dicedok diletakkan di dalam pinggan,
menunggu kau menjamah masakannya,
menanti ucapan terima kasih,
sekadar untuk dihargai.

Wahai suami,
isterimu sedang di ruang tamu,
menjaga dan melayan keletah anak-anak,
ruang tamu dikemaskan, pakaian dicuci, dijemur,
merawat kesihatan keluarganya.
menanti suami dipangkuannya,
meniupkan kata-kata semangat kepadanya.

Wahai suami,
dia isterimu,
kadang-kadang dia bertindak diluar batasan,
mungkin suara meninggi apabila kepenatan,
mungkin bermasam muka apabila bertengkar,
mungkin tersalah tingkah dalam tidak sedar.
namun jangan dihukum tapi di didik,
jangan ditinggal tapi teruslah berada disisinya.

Wahai suami,
syurganya terletak pada redamu,
bantulah dia menggapai syurga itu,
tunjukkanlah dia jalan untuk ke syurga itu,
jangan dia dipesongkan malah diluruskan,
jangan dia ditindas malah dilindungi,
kerana kau suami,
redanya Allah padanya adalah redanya engkau pada insan yg bernama isteri

Nukilan:
misscaterpillar

Penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup

Penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup

DALAM kegiatan berbahasa, lumrah didapati pengguna bahasa Melayu cenderung meninggalkan penjodoh bilangan.

Ada dalam kalangan mereka berpendapat bahawa tidak menggunakan penjodoh bilangan sebelum sesuatu kata nama tidak akan menjejaskan maksud sesuatu ayat. Tanpanya, pembaca tetap dapat memahami maksud ayat.

Dalam media massa, sama ada media cetak atau media elekronik dapat kita temukan ayat-ayat contoh seperti yang berikut:

1. Lima pendatang tanpa izin ditangkap oleh polis.

2. Beberapa jalan di kawasan itu ditenggelami air.

Kedua-dua ayat 1 dan 2 akan menjadi persis apabila penjodoh bilangan orang dan batang dibubuh di hadapan kata nama pendatang (ayat 1) dan jalan (ayat 2).

Ketiadaan penjodoh bilangan juga menerbitkan maksud yang pelbagai. Kepelbagaian maksud itu menyebabkan maksud ayat tidak khusus.

Dalam ayat contoh 1 misalnya, bilangan ‘enam’ itu boleh jadi membawa maksud jumlah individu atau jumlah kumpulan, atau jumlah gerombolan.

Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penjodoh bilangan untuk menyampaikan maklumat yang tepat.

Di samping itu, penjodoh bilangan berfungsi untuk mengindahkan gaya bahasa selain melembutkan serta menimbulkan lenggang-lenggok bahasa yang menarik. Tanpa penjodoh bilangan, kelembutan dan keindahan bahasa tidak berapa ketara.

Apakah penjodoh bilangan? Penjodoh bilangan ialah perkataan yang terletak di antara kata bilangan dan kata nama sesuatu frasa nama.

Pendeta Za’ba menamakan penjodoh bilangan sebagai “pemadan bilangan”.

Dalam tulisan kali ini, saya akan berbicara tentang penjodoh bilangan untuk kata nama hidup.

Dalam bahasa Melayu, kata nama hidup dapat dibahagikan kepada dua, iaitu manusia dan bukan manusia. Penjodoh bilangan untuk manusia berbeza daripada penjodoh bilangan bukan manusia.

Penjodoh bilangan untuk manusia bergantung pada jumlah bilangan nombor atau bilangan kuantiti. Penjodoh bilangan untuk manusia yang menunjukkan jumlah bilangan ialah orang.

Bagi bilangan yang menunjukkan kuantiti pula, penjodoh bilangannya ialah kumpulan, pasukan dan gerombolan.

Beberapa ayat contoh yang menggunakan penjodoh bilangan tersebut ialah:

3. Seorang pelancong asing sedang makan di restoran itu.

4. Enam orang kanak-kanak tadika bermain di padang permainan.

5. Beberapa kumpulan sukarelawan telah berangkat sebentar tadi.

6. Dua pasukan kriket di daerah kami bertemu dalam perlawanan akhir.

7. Segerombolan pengganas telah ditawan oleh askar kerajaan di tepi rawa.

Penjodoh bilangan gerombolan digunakan untuk kumpulan orang jahat, seperti samseng, pengganas, penjenayah, penjarah, penyamun dan seumpamanya.

Organ di dalam tubuh manusia seperti usus, jantung, paru-paru, pankerias, hempedu, limpa dan lain-lain tidak menggunakan penjodoh bilangan, kecuali organ hati yang diberi penjodoh bilangan keping, seperti sekeping hati.

Penjodoh bilangan untuk benda bernyawa bukan manusia dapat dibahagikan kepada dua, iaitu binatang dan makhluk lain.

Seperti halnya dengan penjodoh bilangan untuk manusia, penjodoh bilangan untuk binatang juga bergantung pada jumlah bilangan atau jumlah kuantiti.

Bagi menunjukkan jumlah bilangan (nombor), penjodoh bilangannya ialah ekor. Penjodoh bilangan yang menunjukkan kuantiti pula ialah kawan. Contoh dalam ayat:

8. Saya membeli dua ekor itik bemban.

9. Beberapa ekor kerbau balar berkubang di sawah.

10. Pemburu itu terserempak dengan sekawan gajah.

Penjodoh bilangan ekor digunakan untuk semua binatang, sama ada bersaiz besar atau kecil, tidak kira binatang itu mempunyai ekor atau tidak. Semut, ketam dan siput binatang yang tidak mempunyai ekor, tetapi tetap menggunakan penjodoh bilangan ekor.

Binatang yang menerima penjodoh bilangan ialah binatang yang dapat dikira dan dilihat. Binatang yang bersaiz mikro, yakni yang bersaiz halus seperti bakteria, ameba, virus, kuman, dan protozoa tidak menggunakan penjodoh bilangan.

Kita tidak menyebut seekor bakteria, lima ekor virus atau beberapa ekor kuman.

Jenis benda bernyawa bukan manusia yang kedua, yaitu makhluk asing, ialah seperti malaikat, syaitan, iblis, bidadari dan bunian.

Masyarakat Melayu menggolongkan makhluk jenis ini kepada dua, iaitu golongan yang baik dan golongan yang jahat.

Makhluk yang baik dikatakan berperangai seperti manusia. Makhluk tersebut ialah bidadari dan bunian, dan penjodoh bilangannya ialah orang.

11. Tujuh orang bidadari telah turun dari kayangan ke taman tuan puteri.

12. Orang kampung mengatakan Tok Ketua telah berkahwin dengan seorang bunian.

Demikian huraian berkenaan dengan penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup.

Perempuan Ini Lelaki Itu

Perempuan Ini Lelaki Itu karya Jenna Jehan mengetengahkan usaha Samina, gadis pemalu lagi pendiam, mencari suaminya, Haidar, yang hilang selepas sehari berkahwin tanpa menyedari dia terperangkap dalam jaring komplot jenayah terancang.

Rentak novel genre misteri ini bermula apabila Haidar dan rombongan pengantin lelaki gagal muncul pada majlis kenduri perkahwinan di rumah pengantin perempuan yang diadakan pada hari kedua, meskipun mereka sudah pun melangsungkannya pada hari sebelumnya.

Bermula dengan kes orang hilang yang awalnya seolah-olah dipandang ringan termasuk oleh pihak berkuasa, misteri kehilangan Haidar mula menimbulkan tanda tanya apabila latar belakang, sejarah hidup dan banglo miliknya di Petaling Jaya disiasat polis.

Samina dengan bantuan Asisten Superintendan (ASP) Adam atau lebih dikenali sebagai Jimmy, buntu apabila Haidar sudah pun kematian ibu bapa dan tidak mempunyai saudara-mara kecuali seorang adik perempuan, sedangkan dia disertai rombongan pengantin yang ramai pada hari perkahwinan.

Daripada wanita naif dan lurus, Samina mengubah sikapnya untuk tidak berterusan menjadi mangsa kepada permainan perasaannya apabila dia terkial-kial membebaskan cengkaman simpati dan sangka baik terhadap Haidar yang mula diragui niatnya dalam melangsungkan perkahwinan.

Apatah lagi, Samina terpaksa berhadapan dengan sikap dingin dan sinis keluarga, terutama ibu dan kakak sulungnya, Sofia yang sememangnya iri hati dengan perkahwinan adiknya yang bertindak melangkah bendul, selain menyimpan marah terhadap wasiat arwah datuknya yang menyerahkan pusaka kepada Samina.

Misteri kehilangan Haidar turut menimbulkan persoalan apabila kes yang hampir sama berlaku di Alor Star dan Melaka, sekali gus mengubah persepsi bahawa seolaholah ada komplot terancang, membabitkan penipuan untuk mendapatkan harta.

Pada masa sama, hubungan Samina dan Jimmy menjadi lebih kompleks apabila pencarian itu menyebabkan dua watak terbabit semakin rapat apabila pegawai polis berkenaan mula menyimpan perasaan terhadap wanita itu sedangkan beliau sudah bersuami.

Rentak misteri semakin rancak apabila Samina terpaksa menyembunyikan diri ke Pahang dan Terengganu apabila diekori lelaki tidak dikenali, selain kes kehilangan itu mula memakan korban apabila dua mayat ditemui, mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Penyelongkaran emosi watak dalam Perempuan Ini Lelaki Itu tidak terjalin kemas dengan plot utama iaitu pencarian Samina untuk merungkai misteri kehilangan Haidar.

Sebagai novel genre misteri dan penyiasatan, pengarang tidak boleh keterlaluan mengheret pembaca untuk menyelami permainan serta kemelut perasaan watak sehingga menyebabkan adegan aksi terabai untuk dimanupulasi dengan sebaik-baiknya.

Misteri kehilangan Haidar sewajarnya direbut sebaik mungkin bagi memancing rasa ingin tahu pembaca dan pemilihan Samina sebagai watak utama sepatutnya dimanfaatkan dengan menampilkannya sebagai kunci penyelesaian misteri, meskipun realitinya realitinya usaha itu ditangani pihak polis.

Novel pertama pengarang ini dalam siri misteri ada sedikit persamaan dengan kes gerakan bertopengkan agama yang diharamkan di Malaysia, tetapi hanya terserlah pada bahagian terakhir, berkemungkinan untuk mengelakkan pembaca daripada membuat tebakan awal dan ia boleh dibeli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung.

Dunia kreatif bawa tuah Aina Emir

AINA Emir, nama pena bagi Latifah Emir Ahmad, bekas Pegawai Latihan (Bahagian Sumber Manusia), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak, pada 1957 dan bersara pilihan bagi menyertai dunia perniagaan.

Beliau menggunakan nama pena Jenna Jehan untuk novel dalam siri misteri yang diterbitkan syarikat miliknya, KaryaDya Solutions Sdn Bhd dan genre terbabit dipelopori bagi menambah kepelbagaian bahan bacaan untuk pembaca karya dalam bahasa Melayu.

Novel pertamanya, Sesuci Cinta diterbitkan pada 2003 mencatat jualan melebihi 50,000 naskhah dalam tempoh tidak sampai setahun dan disusuli dengan Seharum Kasih, Setulus Janji, Aura Cinta, Semalam Kubermimpi, Kau Laksana Bulan, Bunga-Bunga Kemboja dan Rahsia Bukit Residen (buku bacaan awal remaja dengan nama samaran Lea Mansur).

Aina beralih ke dunia penulisan kreatif yang pernah diuliti sebelum ini selepas tidak menikmati kepuasan dalam bidang perniagaan dan tidak menyangka langkah itu membawa tuah berterusan kepadanya dengan mengecapi kejayaan demi kejayaan lewat novel garapannya.

Bidang penulisan akhirnya mengembalikannya semula ke dunia perniagaan apabila beliau akhirnya menubuhkan KaryaDya Solutions Sdn Bhd bagi menerbitkan karya garapannya dan turut dibuka kepada penulis baru mahupun sudah bernama.

Daripada sebuah syarikat penerbitan karya kreatif, syarikat pimpinannya itu akhirnya mengembangkan sayapnya kepada bahan bacaan awal remaja dan kanak-kanak di samping menerbitkan filem dokumentari serta akhirnya berkembang kepada bidang pengedaran dalam memastikan kehadirannya terus bertapak kukuh dalam industri penerbitan negara.

Ulasan Nazmi Yaakub

Perempuan Ini Lelaki Itu

Pengarang: Jenna Jehan (Aina Emir)
Tebal: 373 halaman
Penerbit: KarnaDya Solutions Sdn Bhd
Harga: RM17
Bintang: ***

Sinopsis Perempuan Ini Lelaki Itu
Cinta Samina untuk Haidar merupakan cinta pertama yang tulus ikhlas. Sebelum kehadiran lelaki yang bernama Haidar, Samina tidak pernah mengenali erti cinta.Namun, mungkin benar sebagaimana yang dikatakan kakaknya Sofia, nasib tidak mungkin menyebelahi Samina buat selama-lamanya.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, itulah yang dialami gadis lurus yang baik hati ini. Pelbagai kejadian aneh yang dilaluinya hinggakan dia terpaksa cuba mengubah sikapnya agar dia tidak terus menjadi mangsa kepada sesiapa jua. Dalam begitu, mengapa payah untuk dia menepiskan perasaan yang masih terpendam di dada? Mengapa bayangan lelaki itu masih lagi menggoyahkan jiwanya? Ke mana pula harus dia tuju dan bolehkah dia mempercayai lelaki yang bernama ‘Jimmy’ itu?

Namun begitu, Samina tiada pilihan dan terpaksa sahaja bergantung kepada pegawai polis yang mengendalikan kes ‘hilang’ yang dilaporkannya. Mulai saat itulah, gadis yang digelar ‘Min’ terpaksa melalui liku-liku kehidupan sarat dengan persoalan yang berteka-teki. Malah, lebih merumitkan lagi hidupnya apabila dia terperangkap sama dalam kes jenayah yang berbelit-belit.

Mampukah Samina menguatkan semangatnya dan berjayakah dia mencari rakan-rakan yang hilang? Dapatkah perempuan itu mengatasi segala dugaan yang datang melanda dalam hidupnya?

Sebuah novel bergenre ‘misteri/siasat’ yang dipenuhi pelbagai peristiwa saspens lagi romantis dan dimantapkan dengan episod-episod humor akan membuat pembaca terus membaca novel ini dari muka surat pertama hingga akhir!

Erti Kemerdekaan DR Mahathir Mohamad

Dan jatuhnya hanya beberapa hari
lalu terbelenggu 400 tahun
suatu tempoh yang amat payah dan panjang
pengabdian dan kehilangan yakin diri
43 tahun kita berdiri menebus maruah
merdeka mentafsir diri sendiri dan bangga pada apa yang ada
masih mahukan harga itu diperjudikan?

Kita tidak akan mempertaruhkan nasib itu
di tangan kita masih panas
keringat, tulang belulang dan tenaga fikir
menghayun langkah membina wawasan
waspada harimau di matahari terbenam
tidak akan hilang belangnya
mengisytiharkan dirinya yam tuan tunggal sejagat
yang lemah longlai
yang gagah gergasi
akan meruntuhkan segala sempadan rimba
atas nama membina perkampungan dunia
mahukah kita biarkan
mereka menginjak-injak dan menghancurkan taman kecil permai ini?

Rimba tanpa sempadan
atas nama “kebaikan” menyelinap menusuk matafikir
hidupan dunia ketiga terpaku takjub dengan slogan
‘kasih alam
ketelusan hukum
keadilan timbangan
kesatuan warga dunia
kebebasan mutlak’
lalu beraraklah anak-anak bumi ini meraikan kesatuan alam
dengan sorak sorai
‘runtuhkan sempadan!
runtuhkan sempadan!
runtuhkan korupsi
runtuhkan kolisi’

dan di belakang mereka tidak melihat
bayang-bayang belenggu halimunan
yang lebih ganas daripada segala yang ganas
kita pun akan kehilangan harga dan erti diri
mengapa diundang mereka
dan mereka tiba-tiba berada di depan pintu rumah kita?
Kita telah bangun dengan segala kepayahan
membuka belantara dan mempertahankan warisan
kita tafsir merdeka mengikut acuan sendiri
merdeka kita dengan fikiran
dan kita pertahankannya dengan fikiran
dunia sudah melihat kita
dunia sudah menghormati kita
Timur dan Selatan mengharapkan kita
mereka datang berbondong-bondong mencari bumi ini
perlindungan dan erti hidup
mengapa kita sendiri masih belum mahu melihat
dengan tangan masih terbelenggu ke belakang
dan hanya sesekali menjulangnya
mengikut rentak genderang dunia matahari terbenam?
Bijak pandai pernah berpesan
‘mereka yang tidak belajar dari sejarah mereka didera
dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali’
sejarah mengajar kita betapa kukuh sesuatu bangsa
akan tetap kecundang bila ditikam dari belakang
mengapa kita mula halalkan sejarah hitam berulang?

Nasib kita genggam
dengan tangan sendiri dan segala kudrat kurniaan
kita jalin kekuatan sulaman kasih bangsa
kita didihkan dia dengan tradisi semangat juang
maruah bangsa kita julang ke mercu alam
kita bangunkan suatu tamadun cinta damai
di sini kita ajar anak-anak kita erti sayang
di sini kita tawarkan dunia menaja kemanusiaan
dan bukan alat peperangan
dunia belajar erti merdeka sejati
mempelajari dan menerima segala perbezaan
merdeka menafsir hidup tanpa paksaan kuasa

Di sini kita yakin segalanya boleh
Di sini kita yakin segalanya boleh
Itulah erti kemerdekaan

Perjuangan ini mesti diteruskan.

~ Tun Mahathir Mohamad